Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia sedang mengesan Ibrahim Mat Zin atau `Raja Bomoh’.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, polis menjejaki bomoh itu sejak Isnin lalu kerana telah merosakkan imej agama Islam.

“JAWI dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang berusaha menjejaki bomoh (Ibrahim) sejak Isnin lagi untuk menangkap dan mendakwa beliau yang merosakkan imej Islam,” katanya menerusi akaun Twitternya hari ini.

Semalam, Asyraf Wajdi mengingatkan orang lain supaya tidak menyebarkan sebarang upacara dilakukan Raja Bomoh yang didakwa sedang memagar Malaysia daripada ancaman asing, khususnya Korea Utara.

Tegas Asyraf, tindakan menyebar tindakan lelaki itu secara tidak langsung mempopularkan beliau.

Sebelum itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri juga menyifatkan tindakan Raja Bomoh itu menyalahi syariat Islam. – MalaysiaGazette