ALOR GAJAH, 18 Mac -- Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tiga, kiri) bersalaman dengan para Perwakilan ketika hadir untuk merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Alor Gajah malam tadi. ?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
ALOR GAJAH – Langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan syarat bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai pakatan pembangkang seperti penggunaan satu simbol dan manifesto adalah mencontohi konsep perkongsian Barisan Nasional (BN), kata seorang Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata konsep perkongsian yang diamalkan BN sejak sekian lama memastikan negara ini terus stabil dan aman, justeru wajar dicontohi.

“Tindakan ini seperti penghormatan bahawa BN sahaja yang mampu memastikan negara ini terus stabil dan aman. Jika Pengerusi PPBM (Tun Dr Mahathir) pun boleh bercakap begitu, saya rasa ia telah memberikan satu pengiktirafan.

“Justeru BN perlu terus menjadi parti yang diberikan mandat untuk meneruskan kesinambungan, kestabilan dan keamanan negara. Kita tidak mahu suatu parti yang rapuh,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Alor Gajah di sini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Asyraf Wajdi berkata kesepakatan yang diamalkan BN juga perlu dicontohi kerana bukan bersifat ‘kosmetik’ sebaliknya bersifat hakiki dan berasaskan Perlembagaan.

Pada 14 Mac lepas PPBM melalui Tun Dr Mahathir mengumumkan keinginan untuk bekerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan namun meletakkan beberapa syarat termasuk menukar nama pakatan pembangkang itu.-MalaysiaGazette