Mayat mangsa keenam yang lemas dijumpai petugas SAR. - Foto: JBPM

KUALA KUBU BHARU – Mangsa keenam insiden sekumpulan kanak-kanak yang dihanyutkan air deras di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, telah dijumpai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR)  Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selangor, yang disambung pagi ini.

Astro Awani melaporkan, mangsa, Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10, dijumpai di tepi sungai dalam kawasan berumput dalam jarak 1 kilometer dari pertemuan Sungai SKC dan Sungai Selangor pada jam 10.20 pagi.

“Pengecaman mayat dibuat oleh keluarga mangsa berdasarkan pakaian mangsa.

 “Mangsa terus dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk pengecaman dan tindakan selanjurnya,” ujar Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul melalui pesanan ringkas.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Jumaat lepas, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di Sungai Selangor itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala lima lagi ditemukan lemas.

Lima mangsa yang meninggal dunia akibat lemas ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12. – MalaysiaGazette