Filem Beauty and The Beast tidak dibenar tayang di Malaysia berikutan adegan-adegan gay.

KUALA LUMPUR – Tayangan filem barat yang mempunyai adegan homoseksual Beauty and The Beast tidak akan menguntungkan negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan berkata, pihak tertentu yang berjuang untuk melihat filem tersebut ditayangkan perlu menghentikannya kerana ia tidak penting kepada pembangunan negara.

“Disebarkan seolah-olah syarikat Walt Disney menuduh Malaysia sebagai negara tidak bertoleransi.

“Ini bukan sesuatu yang menguntungkan negara pun, sebaliknya menguntungkan syarikat itu, jangan perjuangkan sangat, yang penting pembangunan negara kita,” kata Nur Jazlan ketika menjawab celahan Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen semasa menggulung titah Yang di Pertuan Agong bagi kementeriannya di Parlimen hari ini.

Menurut beliau lagi, syarikat Walt Disney yang menerbitkan filem tersebut enggan mematuhi arahan supaya menyunting adegan yang mempunyai babak hubungan homoseksual memandangkan ia sudah diklasifikasikan sebagai PG13.

“Adegan dipotong tidak panjang serta tidak menjejaskan plot filem berkenaan.

“Kita dah beri penarafan filem ini kepada PG13, kalau syarikat Walt Disney nak ikut dia boleh ikut,” katanya lagi.

Jelas Ahli Parlimen Pulai itu, perdebatan awam berkenaan filem itu sudah menjadi isu politik.

Pada 15 Mac lalu, syarikat Walt Disney menarik balik tayangan filem itu di Malaysia selepas adegan yang mencetuskan kontroversi itu dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem.

Sebelum itu Chen dalam celahannya di Dewan Rakyat berkata tindakan kerajaan menggantung tayangan filem terbabit akan menjejaskan industri pelancongan negara berikutan publisiti buruk yang diberikan oleh media antarabangsa.

Tegas Nur Jazlan, jika kerajaan menyebelahi syarikat filem itu, ianya seperti mengabaikan kepentingan negara.

“Adegan itu sudah diharamkan di Amerika Syarikat sendiri walaupun budaya homoseksual itu diterima ramai di sana.

“Malah di Russia, filem itu diberikan klasifikasi di bawah 16 tahun dan tidak sesuai kepada kanak-kanak tetapi syarikat itu sanggup tayang di sana kerana pasaran di sana menguntungkan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette