Beberapa wakil media menghantar petsiyen bantahan kepada pegawai khas Pandikar, Lee Chun Boon di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 70 pengamal media hari ini menghantar petisyen bantahan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung larangan membuat liputan di perkarangan Dewan Rakyat.

Petisyen berkenan diberikan kerana mendapati alasan larangan berkenaan mengganggu tugas media menjalankan tugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung kini.

“Kami para pengamal media yang mendatangani petisyen ini merayu meminta pihak Tan Sri untuk mempertimbangkan semula keputusan yang tidak membenarkan kami untuk membuat liputan di lobi luar Dewan Rakyat.

“Pihak kami sangat menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak Tan Sri namun pihak kami kurang jelas tentang kenyataan Tan Sri yang menyatakan bahawa kami menimbulkan ancaman keselamatan serta mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen,” demikian menurut petisyen berkenaan.

Selasa lalu, Pandikar membuat ketetapan tidak membenarkan wakil media berkumpul di luar ruang legar dewan persidangan atau lobi parlimen.

Tindakan itu diambil selepas beliau mengambil kira aduan diterima daripada ahli-ahli Parlimen yang menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan pihak media menyerbu mereka untuk mendapatkan komen berkenaan sesuatu isu.

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta.

Petisyen berkenaan diserahkan kepada pegawai khas Pandikar, Lee Chun Boon tepat jam 4.25 petang di pejabat beliau.

“Tan Sri juga meminta supaya kami warga media agar bekerja keras untuk mendapatkan berita tanpa akses kepada lobi Parlimen.

“Bagaimanapun untuk pengetahuan pihak Tan Sri arahan tersebut mengehadkan pergerakan kami serta menyebabkan ramai di antara kami tidak dapat melakukan tugas dengan efektif,” tulis petisyen berkenaan.

Disebalik itu, pengamal media yang membuat liputan turut berharap agar larangan berkenaan ditarik balik bagi memudahkan tugas mereka.

“Kami percaya mendapat akses kepada para penggubal undang-undang merupakan satu kelebihan dan keunikan yang membolehkan para pengamal media untuk bertemu serta menjalankan tugas mereka sebagai pengantara maklumat kepada masyarakat.

“Kami merayu kepada pihak Tan Sri agar dapat mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat,” rayu petisyen berkenaan.

Sebelum itu, Pengerusi Kesatuan Wartawan Malaysia, Taufek A. Razak mengecam larangan itu dan mahu pengurusan Dewan Rakyat menarik balik. – MalaysiaGazette.

NUJ kecam peraturan larang wartawan bertugas di Parlimen