Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda (lima dari kiri) dan sebahagian pimpinan tertinggi CUEPACS melakukan simbolik pelancaran CUEPACScare4U dan Kempen Mentakafulkan Warga Penjawat Awam pada Majlis Bersama Penerima Manfaat CUEPACScare di Menara Miti, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 23 MAC 2017

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan RM22 bilion setahun untuk perkhidmatan kesihatan sedangkan hanya mampu mengutip kira-kira RM400 sehingga RM500 juta daripada caj klinik dan hospital.

Ini bermakna kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang tinggi menerusi sumber pendapatan lain termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim perlindungan insurans seperti Cuepacs Care diharap mampu memberi alternatif kepada pemegang insurans iaitu kakitangan kerajaan dan ahli keluarga yang dilindungi supaya tidak hanya tertumpu kepada klinik dan hospital kerajaan.

“Seperti yang diketahui perkhidmatan kesihatan yang diberikan untuk rakyat adalah yang terbaik di dunia terutama jika dikaitkan dengan caj yang dikenakan kerana ianya murah dan sangat berpatutan.

“Kalau tidak dinaikkan caj hospital kerajaan, pastinya lebih banyak sumber yang terpaksa digunakan untuk menampung perbelanjaan perkhidmatan hospital yang menelan belanja sebanyak RM22 bilion sedangkan kutipan daripadanya hanyalah sekitar RM400 juta sehingga RM500 juta setahun sahaja dan kita memperolehi dana untuk membiayai perkhidmatan hospital adalah menerusi GST.

“Disebabkan itu, Skim Cuepacs Care ini boleh memberikan alternatif supaya tidaklah semua orang akan berpusu-pusu ke klinik serta hospital kerajaan sahaja.

“Ini pastinya akan mengurangkan tekanan kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan,” katanya semasa berucap di Majlis Bersama PM dan menerima manfaat Cuepacs Care di sini hari ini.

Di majlis yang sama juga, Perdana Menteri mengumumkan sumbangan tambahan RM5 juta kepada Cuepacs Care bagi membolehkan pemegang polisi mendapat manfaat yang lebih banyak.- MalaysiaGazette