Kerajaan Selangor pada dasarnya gagal dalam kempennya melarang penggunaan beg plastik.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengakui masih buntu dalam usahanya mencari kaedah penyelesaian menggantikan penggunaan beg plastik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, dasar yang digunakan seperti mengarahkan pasar raya mengenakan bayaran 20 bagi setiap beg plastik gagal mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata, dengan kempen itu diharapkan dapat menyedarkan orang ramai mengenai keburukan penggunaan beg plastik kepada alamat sekitar dan menggalakkan mereka menggunakan beg kertas.

“Kajian pula menunjukkan penggunaan beg kertas juga tidak dapat menggantikan beg plastik kerana ia turut menyumbang kepada pertambahan kuantiti sampah di negeri ini.

“Bagaimanapun, larangan atau caj 20 sen ke atas beg plastik ini akan diteruskan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang,” katanya ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017 di sini, hari ini.

Mulai 1 Januari lalu, peniaga di Selangor tidak lagi membekalkan secara percuma bekas makanan polisterina dan beg plastik kepada pelanggan.

Kata Elizabeth, hasil jualan beg plastik di pasar raya dikutip oleh peniaga berkenaan dan setiap 20 sen yang dikenakan caj itu akan dimasukkan dalam resit pembelian.

Menurut beliau, sebahagian daripada kutipan itu disumbangkan kepada dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor yang bertanggungjawab menjalankan usaha pembersihan Sungai Klang.

“Saya dimaklumkan sejumlah RM1 juta telah disumbangkan pasar raya kepada dua PBT ini untuk tujuan pembersihan Sungai Klang,” katanya. – MalaysiaGazette