Recall Bill Azalina Othman Said anti-party hopping recall election
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut dibentang bagi mewujudkan sebuah akta berkaitan kesalahan seksual dan bentuk hukuman yang lebih berat kepada pesalah seksual kanak-kanak.

“Saya memohon mengemukakan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak,” kata Azalina.

Bacaan kali kedua dan ketiga juga akan dibacakan dalam sidang mesyuarat Dewan Rakyat sesi kali ini.

RUU yang dibentang mengandungi tujuh bahagian yang menerangkan definisi bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dan hukuman yang akan dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah dalam jenayah tersebut.

“Akta ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tertentu dan hukumannya sebagai tambahan kepada kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang lain dan hukumannya sebagai tambahan kepada kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang lain dan hukumannya dalam undang-undang bertulis yang lain dan berhubung dengannya untuk mengadakan peruntukan mengenai pentadbiran keadilan bagi kanak-kanak dan perkara berkaitan,” menurut bahagian huraian akta yang dibacakan tersebut.

Antara kesalahan yang disentuh dalam RUU yang dibacakan adalah kesalahan berkenaan pornografi kanak-kanak, dengan mana-mana individu yang menghasilkan, menonton dan bertukar-tukar bahan tersebut boleh berdepan pendakwaan.

Hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada individu yang menghasilkan pornografi yang mana akta ini memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Bagi pihak yang bertukar-tukar atau menerbitkan bahan sedemikian boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan.

Sementara itu, individu yang mengakses bahan pornografi kanak-kanak juga tidak terlepas daripada hukuman, akta ini memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan hubungan seksual dengan kanak-kanak secara sentuhan melibatkan fizikal, mana-mana pesalah boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.

Bagi peruntukan hukuman sebat, akta yang dibacakan kali ini juga mengemukakan lelaki berumur lebih daripada 50 tahun, seseorang itu masih boleh dihukum sebat tanpa pengecualian. – MalaysiaGazette