Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengotakan janji untuk memberi royalti petroleum kepada Kelantan.
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Mat menggesa agar umat Islam di negara ini menolak sepenuhnya pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164).

Menurut Nik Abduh, pindaan berkenaan jelas bukan bertujuan menambah baik, tetapi meruntuhkan kebaikan sedia ada, merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah untuk diri dan keluarga.

“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan Akta 164 ini. Sebarang pindaan undang-undang mestilah bertujuan menambah baik.

“Sebaliknya, pindaan kali ini jelas meruntuhkan kebaikan sedia ada, malah merosakkan akidah dan menyekat muslim daripada mengamalkan hukum syariah untuk diri dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, kerajaan harus dipersalahkan atas pindaan itu yang padanya akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“UMNO bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan akta ini diluluskan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mencadangkan agar pindaan dilakukan ke atas Akta 164 susulan beberapa kes berebut hak jagaan anak yang dibawa ke mahkamah apabila pasangan yang memeluk Islam menukar agama anak tanpa kebenaran bekas suami atau isteri.

Ia akan membenarkan hanya mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu ‘kedua-dua pihak’ dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Ogos tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pindaan Akta 164 ini dijangka mampu memberi penyelesaian terbaik terhadap isu kelompangan perundangan bagi menyelesaikan isu pertikaian apabila salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam.

Malah penggubalan Akta 164 juga bermatlamat memberi lebih keadilan bagi kedua-kedua pasangan yang telah mendaftarkan perkahwinan mereka secara sivil. -MalaysiaGazette.