KUALA LUMPUR – 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek sekarang.

Kementerian Kewangan dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, 1MDB telah membayar balik sepenuhnya semua hutang pada tahun 2015 dan tahun 2016.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (DAP) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pekerja, wang tunai, hutang dan aset yang diperoleh 1MDB di dalam dan luar negara pada 2015 dan 2016.

Selain itu, menurut Kementerian Kewangan, tiada sebarang aset baharu di dalam negara atau di luar negara diperoleh 1MDB pada 2015 dan 2016 memandangkan 1MDB sedang melaksanakan pelan rasionalisasi.

Selaras dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi itu, 1MDB mempunyai 35 orang pekerja pada 31 Disember 2015 dan 17 orang pekerja pada 31 Disember 2016.

Manakala, 1MDB telah memperoleh tunai sebanyak RM10.97 bilion pada 2015 dan 2016 melalui penjualan aset syarikat Edra Global Energy Bhd, penjualan sebahagian ekuiti syarikat Bandar Malaysia Sdn Bhd dan penjualan plot tanah di projek Tun Razak Exchange.-MalaysiaGazette