Seorang pegawai polis menembak mati isterinya sebelum bertindak membunuh diri sendiri di hadapan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di Sungai Golok di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand.
Gambar hiasan

NARATHIWAT – Enam lelaki menaiki sebuah kenderaan pikap melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik ke arah Balai Polis Ranget di sini menyebabkan seorang anggota polis terbunuh dan lima lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Ranget, Kol Surapon Chattisuk berkata, kejadian pada 8.45 pagi itu (waktu tempatan) ketika anggota polis sedang berbaris mendengar ucapan daripada pegawai kanan.

“Ketika sedang berbaris, tembakan dilepaskan daripada lelaki menaiki kenderaan pikap yang melalui jalan di hadapan balai. Anggota sempat membalas tembakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Anggota polis yang menjalankan siasatan selepas kejadian itu menurut beliau menemui kira-kira 30 kelongsong peluru senapang M-16 dan AK-47 yang digunakan oleh kumpulan lelaki bersenjata itu.

Siasatan kata Surapon juga menunjukkan kenderaan pikap yang digunakan lelaki bersenjata itu adalah kenderaan yang dicuri dari daerah Sukhirin, Narathiwat baru-baru ini.

Kenderaan itu dicuri lelaki berpakaian seragam tentera ketika pemilik dan isterinya dalam perjalanan dari pasar di Kampung Romsai, katanya.

“Kami percaya kenderaan yang digunakan oleh lelaki bersenjata itu masih berada di daerah itu dan usaha memburu mereka sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Kejadian serangan Balai Polis Ranget hari ini menyusuli satu lagi kejadian keganasan di daerah Resak, di sini pada 2.30 petang semalam yang menyebabkan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun maut ditembak anggota keselamatan.

Menurut pasukan keselamatan, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) dan terlibat dalam kejadian pembunuhan empat sekeluarga baru-baru ini.

Anggota keselamatan turut menemukan senjata M-16 dan pistol 9mm selepas pertempuran selama 10 minit dengan dua lelaki itu. – MalaysiaGazette