KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak mengambil alih peranan dan Pas dalam mengemukakan RUU 355 menjadi bukti betapa konsistennya amalan dan tradisi BN dalam memutuskan sesuatu perkara secara konsensus.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kunci kekuatan BN di mana solidariti sentiasa diutamakan dalam suasana saling hormat menghormati sesama parti komponen.

“Ini membezakan BN pro rakyat berbanding Pakatan Harapan pro DAP. Keputusan ini sekali gus melambangkan betapa kerajaan dan Parlimen Malaysia begitu menjunjung hak dan kebebasan setiap ahli parlimen.

“Sekarang bola tetap di kaki Pas. Mereka parti yang ada gabungan seperti PKR dan individu yg selama ini pejuang Islam yang dulu bersama mereka.

“Ini ujian buat Pas. Kita bakal lihat sejauhmana solidariti mereka tulen dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar merujuk kepada keputusan Mesyurat Dewan Tertinggi BN malam semalam yang memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan RUU355 di Dewan Rakyat tetapi menyerahkannya kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat untuk memutuskannya.

Mengenai pendirian rasmi UMNO, Annuar berkata, parti belum memutuskan apa-apa mengenainya kerana bil persendirian itu pun masih belum siap sepenuhnya.

“Ini kerana masih banyak perkara dan prosedur yang perlu dilalui dalam menggubal sesuatu akta,” ujarnya sambil menambah UMNO akan membuat ketetapan apabila sampai masanya.

Menurutnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kuasa dan hak untuk memberi penjelasan kepada masyarakat dan parti rakan mereka.

“Mereka perlu memahami semua ini secara mendalam sebelum boleh menentukan sama ada bersetuju atau sebaliknya.

“Ada beberapa lagi kaedah dan opsyen kearah menjayakan hasrat ini.Tidak perlu membuat spekulasi,” katanya.-MalaysiaGazette