Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank telah mengukuhkan kedudukan jenamanya dengan pengiktirafan sebagai jenama bank Malaysia paling bernilai.

Ia juga berada antara lima teratas jenama bank ASEAN dalam kedudukan 500 Jenama Bank Teratas 2017, terbitan firma Penilaian Jenama Global dan Rundingan Strategi, Brand Finance.

Maybank juga satu-satunya jenama bank Malaysia dengan kedudukan kukuh jenama AAA menjadikan ia jenama bank Malaysia paling kukuh.

Menurut kaji selidik Brand Finance, Maybank hampir berjaya menggandakan beza
antara nilai jenamanya dengan bank kedua Malaysia daripada AS$334 juta pada tahun 2016 kepada AS$654 juta pada 2017.

Ia juga mengalami pertumbuhan nilai jenama yang kukuh dan positif sebanyak 24 peratus di tengah-tengah persaingan sengit daripada jenama lain ASEAN dan global, juga telah menaiki sebanyak 11 kedudukan untuk berada antara 100 jenama bank teratas paling bernilai dalam “Brand Finance 100 Jenama Perbankan Global Teratas 2017”.

Peningkatan nilai jenama sebanyak 20 peratus berbanding modal pasaran yang hampir tidak berubah telah menambah baik nilai jenama Maybank kepada nisbah modal pasaran kepada 15 peratus, menunjukkan kepentingan jenama dan keupayaannya dalam menyumbang kepada kejayaan perniagaan.

Brand Finance adalah peneraju perunding penilaian jenama bebas di dunia dengan
pejabat-pejabat antarabangsa berada di Amsterdam, Bangalore, Barcelona, Cape
Town, Colombo, Dubai, Helsinki, Hong Kong, Istanbul, Lisbon, Madrid, Moscow, New
York, Paris, Sao Paulo, Sydney, Singapura, Toronto dan Zagreb.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh perunding termasuk penilaian jenama, aset tidak ketara dan harta intelek bagi perakaunan, cukai, pembiayaan korporat dan tujuan pemasaran.

Brand Finance, dalam kaji selidik tahunannya menghargai jenama ribuan syarikat gergasi di dunia. Keputusan analisis ini kemudiannya diberikan kedudukan terhadap 500 jenama perbankan paling bernilai di dunia dipaparkan dalam Kedudukan 500 Perbankan Brand Finance. – MalaysiaGazette