Mohamed Azmin Ali di DUN Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, kerajaan negeri bukan tidak mahu berkompromi dengan Kerajaan Persekutuan mengenai kadar premium tanah untuk pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat serta Balai Polis di Setia Alam.

Sebaliknya, kata beliau, keputusan kerajaan negeri untuk menetapkan kadar premium mengikut harga pasaran semasa bagi tapak itu ialah kerana akur dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN).

Katanya, keputusan MTN ialah menetapkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya kadar premium bagi tujuan tapak sekolah sahaja dikenakan jumlah premium RM1,000 nominal melalui Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bil. 3 Tahun 1997.

Perkara berkaitan kadar premium terlalu tinggi dikenakan kerajaan negeri bagi cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membina dua prasarana itu di Setia Alam, dekat sini dibangkitkan Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong).

Dalam soalan kepada kerajaan negeri, Shamsuddin dbertanya, tidakkah kerajaan negeri boleh menggunakan budi bicara dengan tidak akur arahan MTN kerana Balai Bomba dan Balai Polis adalah penting untuk rakyat.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin kekal berpegang kepada arahan MTN dan KPTG berhubung penetapan harga kadar premium tanah.

Mengenai tapak hospital di Kapar, Klang, Menteri Besar memberitahu, tapak yang dikenalipasti untuk cadangan itu telahpun diserahkan Sime Darby kepada kerajaan negeri mengikut Sekyen 200 Kanun Tanah Negara.

Namun, ujar beliau, Kerajaan Persekutuan sehingga kini belum membuat permohonan rasmi pemberi milikan tanah bagi tujuan tersebut. – MalaysiaGazette