Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas tidak rasa kerugian walaupun Barisan Nasional (BN) telah menetapkan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang 355.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, tidak timbul soal UMNO permainkan mereka seperti didakwa sesetengah pihak.

“Sorak dan gembira mereka yang benci kepada Pas kerana Mesyuarat Majlis Tertinggi BN menolak cadangan kerajaan membawa RUU 355.

“Ertinya ia kembali kepada Undang-Undang Persendirian yang akan dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang.

“Mereka tuduh Pas kena permain dengan UMNO dan Datuk Seri Najib Razak. Kepada Pas, tidak ada perkara yang rugi. Siapa bawa pun tidak mengapa, asalkan agenda Islam dapat dilaksanakan.

“Hatta jika DAP hendak bawa pun Pas akan sokong,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, RUU 355 bukan isu yang hendak dipolitikkan.

“Kalau fikir keuntungan politik daripada awal, Pas tidak akan memperjuangkan perkara ini.

“Ahli-ahli Pas diajar berpolitik untuk bekalan akhirat, bukan sahaja di dunia. Inilah motivasi ahli Pas,” katanya lagi.

Menurutnya, rakyat boleh menilai inilah Pas yang tegas dengan prinsip, lunak dengan pendekatan dan tidak hirau dengan kejian.

“Biarlah manusia lain tidak suka. Jika RUU 355 pun sudah alergik, yang memang sudah termaktub di dalam undang-undang. Apakah yang hendak diharapkan dalam agenda Islam yang lain?” soalnya.-MalaysiaGazette