Ahmad Zahid Hamidi

SUBANG – Pejabat kedutaaan Malaysia di Korea Utara tidak akan ditutup susulan kes pembunuhan abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong Nam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia juga tidak mempunyai hasrat untuk memutuskan hubungan dengan Korea Utara walaupun wujud polemik di antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini.

“Menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita izinkan rakyat Korea Utara untuk pulang ke negara asal mereka berdasarkan hubungan bilateral Malaysia-Korea Utara.

“Mereka (rakyat Korea Utara) yang berada di depoh Jabatan Imigresen pula akan diuruskan untuk dihantar pulang ke negara berkenaan.

“Selain itu, rakyat Korea Utara yang masih berada di Malaysia adalah tertakluk dengan akta Imigresen, justeru perkara itu tiada perubahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Ke-24, di sini, hari ini.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di bawah arahan ejen Korea Utara.

Dia secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemalsuan kenyataan bersama yang didakwa dikeluarkan Wisma Putra dan Republik Korea Utara, Ahmad Zahid berkata, sebarang keputusan dibuat Kementerian Luar adalah kenyataan rasmi kerajaan.

Katanya, semua tatacara yang tertakluk kepada keputusan mengenai hubungan Korea Utara-Malaysia dibuat Kementerian Luar.

Satu kenyataan bersama didakwa dikeluarkan Wisma Putra dan Republik Korea Utara tersebar semalam menerusi aplikasi WhatsApp sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkembangan mengenai usaha membawa balik sembilan rakyat Malaysia.

Antara kandungan kenyataan itu ialah menarik balik larangan perjalanan keluar masuk rakyat di kedua-dua negara; mengambil usaha untuk memperkenalkan semula Program Pengecualian Visa (VWP) dan memperkuhkan hubungan Malaysia-Korea Utara. – MalaysiaGazette