Suruhanjaya Pilihan Raya

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pindaan akta yang membolehkan rakyat Malaysia mengisi borang daftar undi semasa membuat kad pengenalan.

Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika umur pembuat kad pengenalan mencecah 18 hingga 20 tahun.

“Apabila umur mereka mencecah 21 tahun, nama terus diaktifkan sebagai pengundi dalam sistem dan pegawai JPN serta pengawai pendaftar jadi saksi.

“Itu lebih mudah dan semua rakyat akan daftar sebagai pengundi,” kata wakil rakyat PKR itu menerusi kenyataan hari ini.

Rodziah berkata, lambakan lebih empat juta pengundi yang masih belum mendaftar sebagai pemilih akan selesai sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan sistem pendaftaran pengundi automatik dengan segera.

Katanya, langkah itu selaras dengan amalan demokrasi yang makin berkembang seperti mana diamalkan oleh negara-negara maju di dunia hari ini.

“Realiti yang perlu diterima SPR ialah kebanyakan rakyat Malaysia yang belum mendaftar disebabkan kekangan dan masalah yang dihadapi mereka apabila SPR masih menggunakan sistem yang boleh dianggap ‘kuno’.

“Ramai di antara mereka belum mendaftar kerana kesuntukan masa ekoran sibuk bekerja terutamanya apabila terpaksa ke pejabat pos, mengisi borang dan sebagainya.

“Saya juga lihat pelbagai masalah yang timbul dengan sistem sedia ada ini seperti borang daftar pemilih yang tidak mencukupi,” ujarnya.

Dengan mengambil contoh kejadian yang berlaku baru-baru ini apabila dua ADUN pembangkang gagal memperoleh borang daftar pemilih yang secukupnya sistem manual itu dilihat tidak lagi efisyen.

Dalam pada itu, Rodziah turut mencadangkan agar SPR dan Kementerian Pendidikan menekankan kepentingan mengundi di dalam subjek Sejarah agar kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih timbul sejak dari bangku sekolah lagi. – MalaysiaGazette