Keadaan treler yang merempuh MPV menyebabkan enam sekeluarga maut.

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) telah memulakan siasatan terhadap kemalangan yang meragut enam nyawa di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Lembah Beringin semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan itu memberi tumpuan mengenalpasti punca kemalangan.

“Ia penting untuk kita melihat sebarang kemungkinan bahawa kawalan kejuruteraan dapat dihasilkan bagi mengurangkan perlanggaran sama tetapi dengan kecederaan minimum.

“MIROS juga akan menilai keadaan penyelengaraan kenderaan selain pengurusan dan operasi treler itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.41 pagi itu, enam sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna maut KM 402.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Lembah Beringin akibat dihempap treler akibat daripada tayarnya pancit..

Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan ringan dan menerusi siasatan, pemandu terbabit didapati memiliki lapan rekod lampau kesalahan lalu lintas dan telah ditahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk disiasat lanjut.

Beliau merakamkan kesedihan atas apa yang berlaku dan kecewa nahas masih lagi berlaku walaupun pelbagai kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dipertingkatkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan Polis dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (JPJ) dengan kerjasama sektor swasta.

Menurut Tiong Lay, pada tahun lalu seramai 7,152 orang maut dalam kemalangan jalan raya di negara ini dan perangkaan tersebut adalah tinggi berbanding 6,706 kematian yang direkodkan pada 2015.

Hasil kajian dan analisis menunjukkan 80.6 peratus kemalangan disebabkan oleh kesilapan manusia, tambah beliau.

“Kerajaan memandang perkara ini (tragedi Lembah Beringin) secara serius dengan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet tentang Keselamatan Jalan Raya dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selain implementasian Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) sejak April ini.

AwAS yang menggabungkan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dijangka mampu mengurangkan kemalangan jalan raya.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa sistem ini boleh mendidik pengguna jalan untuk mematuhi peraturan trafik dan jalan raya unttuk mengurangkan kemalangan maut,” ujarnya. – MalaysiaGazette