KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) tetap prihatin dan turut membangunkan kawasan yang dikuasai pembangkang.
Sebagai kerajaan bertanggungjawab, usaha membina sebuah jambatan di kawasan di Kepong, Segambut dan Jinjang dibuat bagi kegunaan dan memberi keselesaan kepada rakyat ekoran kesesakan trafik di kawasan berkenaan.
“Jambatan ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada rakyat. Ini kerja kerajaan yang bertanggungjawab. Bukan seperti sesetengah pihak yang sengaja melaga-lagakan rakyat, mahu cari gaduh kepada sesama kaum Melayu, India dan Cina.
“Kita nak pastikan apa yang kita berikan ini untuk keselesaan rakyat walaupun kawasan ini bukan kawasan BN tetapi kita laksanakan demi keselesaan rakyat di bahagian Kepong dan Segambut,” katanya yang juga Setiausaha Agong UMNO.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan jambatan dari Bulatan Mergastua ke Jalan 1/40 di ibu negara hari ini.
Projek tersebut adalah fasa sambungan kepada Projek Pintasan Segambut sebelumnya, merangkumi jalan raya sepanjang 600 meter dan jambatan sepanjang 200 meter.
Jambatan tersebut merentasi Sungai Keroh dan kolam takungan River Of Life yang berjaya disiapkan pada 6 Mac tahun lalu dengan nilai kontrak bernilai RM23 juta.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, adanya jambatan tersebut, pengundi di kawasan Kepong dan Segambut boleh membuka mata terhadap usaha yang dibuat kerajaan di kawasan mereka.
“Saya harap mereka sedikit sebanyak akan celik mata terhadap apa yang kerajaan pusat lakukan kepada mereka kerana kebanyakkan rakyat tidak sedar dan tidak tahu apa yang berlaku malah mereka tidak bersyukur bahawa negara ini negara yang aman sejahtera, aman sentosa, kita boleh cari makan, boleh hidup dalam keselesaan.
“Saya nak ingatkan orang yang nak buat negara ini hancur supaya berfikir, jangan ikutkan hati, jangan angkuh hati yang akhirnya semua orang akan rugi,” katanya. – Malaysia Gazzete.