Gerabak keretapi yang musnah akibat letupan bom di Stesen Metro Institut Tekhnologicheskiy di St.Petersburg, Rusia semalam. Foto: Reuters

ST. PETERSBURG – Letupan dalam gerabak keretapi bawah tanah di St.Petersburg semalam yang membunuh 14 orang dan 50 orang tercedera mungkin dilakukan oleh warga Rusia kelahiran Kyrgyzstan.

Dakwaan itu dibuat oleh pihak berkuasa dari negara Asia Tengah yang majoritinya rakyat Muslim.

Agensi berita Rusia, RIA Novosti melaporkan pihak berkuasa telah menerima amaran kemungkinan serangan kedua di stesen kereta api yang sama, Metro Sennaya Ploshchad.

Agensi berita Interfax berkata, beberapa jentera bomba berada di luar stesen yang telah ditutup itu.

Letupan semalam disyaki dilakukan oleh pengeboman berani mati yang mempunyai kaitan dengan gerakan radikal Islam, kata Interfax memetik sumber penguatkuasaan undang-undang.

Jurucakap Perkhidmatan Keselamatan Kyrgyz mengenal pasti suspek sebagai Akbarzhon Jalilov yang dilahirkan di bandar Osh pada 1995 namun tidak menyatakan butiran lanjut.

Pengeboman di kelab malam di Istanbul pada malam tahun baharu yang mengorbankan 39 orang setakat ini juga melibatkan suspek dari kawasan Asia Tengah.

Pasukan penyelamat mendukung seorang penumpang keretapi bawah tanah yang diletupkan dengan serangan bom dalam kejadian di St. Petersburg semalam. Foto: Reuters
Pasukan penyelamat mendukung seorang penumpang tercedera dalam letupan bom di stesen keretapi bawah tanah di St. Petersburg semalam. Foto: Reuters

Suspek mengakui dia bertindak atas arahan militan Negara Islam (IS) di Syria.

Jika terbukti pengebom stesen kereta api bawah tanah mempunyai kaitan dengan gerakan radikal Islam, masyarakat Rusia dapat melihat ia sebagai bukti terhadap keputusan Moscow campur tangan di Syria yang menyaksikan orang awam menjadi sasaran.

Bagaimananpun, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, adalah sinis mengatakan pengeboman di St.Petersburg adalah dendam terhadap peranan Rusia di Syria.

Beliau berkata, serangan itu menunjukkan Rusia diperlukan untuk memberi tekanan dengan pertempuran sebagai menentang keganasan global.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas insiden tersebut.

Pegawai berkata, mereka hanya menganggap letupan itu sebagai tindakan keganasan tetapi tidak ada sebarang pengesahan ia berkaitan kepada radikal Islam.

Wartawan Reuters yang melawat sebuah rumah di Osh yang mana menurut jiran ia merupakan rumah keluarga Jalilov, lelaki yang dikenalpasti sebagai suspek pengeboman.

Rumah itu bagaimanapun tidak berpenghuni.

Menurut jiran itu, Jalilov adalah daripada keluarga etnik Uzbekistan dan keluarganya tidak berjumpa suspek selama bertahun-tahun.

Bapanya dikatakan bekerja di sebuah bengkel kereta.

Russian president Vladimir Putin puts flowers down outside Tekhnologicheskiy Institut metro station in St. Petersburg
Presiden Rusia, Vladimir Putin meletakkan kuntum bunga sebagai penghormatan akhir kepada mangsa letupan di stesen keretapi bawah tanah St.Petersburg semalam. Foto: Reuters

Presiden Rusia, Vladimir Putin melawat tapak letupan lewat semalam yang mana letupan yang berlaku pada pukul 2.40 petang waktu tempatan membentuk sebuah lohong besar.

Pemimpin itu memberi penghormatan terakhir kepada mangsa kejadian dengan meletakkan bunga di lokasi letupan bawah tanah semalam. – Reuters