Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melawat gerai di Festival Pengenalan Makanan Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memainkan peranan penting dalam pembangunan industri halal di rantau ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, seperti penganjuran
Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017), ia memberi peluang kepada pengusaha pertanian untuk menonjolkan produk mereka.

“Seramai 10 usahawan pertanian diberi peluang menonjolkan produk mereka hari ini di MIHAS 2017 dan Kementerian Pertanian salah satu komponen penting dalam pembangunan industri halal negara.

“Sudah tentu apa yang dihasilkan bukan sahaja untuk rakyat tetapi juga penjanaan eksport negara dengan penyediaan produk berkualiti tinggi, pembungkusan baik pembuatan betul yang memenuhi piawaian antabangsa,” katanya selepas merasmikan Pavilion Pameran 10 usahawan pertanian dibawah kementerian itu di MIHAS 2017 dan Pengenalan Festival Makanan Malaysia 2017 di sini hari ini.

Seramai lebih 856 pempamer dalam dan luar negara membuka ruang pameran makanan halal yang akan berlansung sehingga 8 April ini.

Tambah Ahmad Shabery, isu keselamatan makanan menjadi perkara penting dalam industri halal negara.

“Harapan kementerian dalam pameran ini adalah terus bersama dengan pempamer dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menonjolkan makanan negara untuk membuka pasaran baharu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette