Othman Aziz

KUALA LUMPUR – Semua peringkat persekolahan rendah dan menengah di negara ini akan didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan sepanjang tempoh persekolahan menjelang 2021.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, elemen pendidikan kewangan telah mula diperkenalkan di sekolah rendah sejak  2014 dan sedang dilanjutkan secara berperingkat kepada semua peringkat.

Katany, a ia bertujuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang celik kewangan dan lazimnya mereka yang memiliki pengetahuan itu mempunyai lebih daya tahan dalam menghadapi perubahan ekonomi.

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membangunkan satu rangka kerja yang menyeluruh untuk pendidikan kewangan di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan 2001-2010 dan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020.

“Di bawah rangka kerja ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan keyakinan dan keupayaan kewangan pengguna dalam membuat keputusan kewangan yang wajar dan bertanggungjawab di masa hadapan.

“Antara program ialah semua sekolah rendah dan menengah di negara ini akan didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan sepenuhnya menjelang 2021.

“BNM juga dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaksanakan modul pengurusan kewangan peribadi di institusi pengajian tinggi dan sedang diteruskan untuk memastikan pendidikan kewangan diperkenalkan di Universiti Awam (UA) dan Swasta,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN-Sekijang Anuar Abd. Manap yang meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha BNM meningkatkan inisiatif celik kewangan bagi meningkatkan tahap kemahiran kewangan pengguna di negara ini dalam persediaan menghadapi kos sara hidup tinggi.

Tambah Ahli Parlimen BN-Jerlun itu lagi, BNM juga menubuhkan Jaringan Pendidikan Kewangan (FE Network) pada November 2016 untuk menyelaras dan memacu strategi pendidikan kewangan pada peringkat kebangsaan.

Jelas beliau, ia dianggotai BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Pendidikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), AKPK, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“FE Network sedang bekerjasama dengan kementerian berkenaan industri kewangan, kumpulan pengguna dan pihak berkepentingan lain untuk menggubal dan melaksanakan inisiatif pendidikan kewangan dibawah strategi kebangsaan yang bersepadu dan holistik,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette