Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Kad Senjata pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 6 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Semua pemilik lesen dan permit senjata api perlu memohon Kad Senjata iaitu kad identiti baharu bagi menggantikan buku senjata sedia ada bermula 1 Jun ini.

Kad Senjata yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berasaskan teknologi terkini dan lebih mudah serta senang untuk dibawa.

Ia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini dalam perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

“Kad ini memiliki beberapa ciri keselamatan seperti tandatangan Ketua Polis Negara, gambar pemilik, nombor MyKad pemilik, kategori lesen atau permit dan maklumat senjata api.

“Kad ini dikeluarkan semasa pembaharuan lesen senjata api untuk 2017 dan untuk tahun-tahun berikutnya.

“Menerusi pelaksanaan kad ini, semua pemilik senjata api di negara ini perlu memiliki kad senjata seperti yang ditetapkan mengikut Peraturan-peraturan Pelesenan Senjata (Pindaan) 2016 dan Peraturan-peraturan Senjata (Pindaan Jadual Kedua) bagi memudahkan sistem pengurusan dan pemantauan oleh PDRM.,” kata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif itu adalah cetusan idea Ahmad Zahid merangkap Menteri Dalam Negeri yang melihat perlunya transformasi menggunakan teknologi terkini dan penambahbaikan ke atas buku senjata bagi memudahkan pengenalan pemilik lesen dan permit senjata api.

Katanya, pelaksanaan kad senjata ini membolehkan pelesen dan pemilik permit senjata api memperkenalkan identiti mereka dengan lebih mudah.

“Permohonan kad senjata boleh dilakukan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara dan lesen didaftarkan dengan mengisi Borang 3A (Permohonan Kad Senjata) ketika permohonan pembaharuan lesen senjata api dilakukan.

“Borang boleh dimuat turun melalui laman sesawang PDRM www.gov.my/pelesenan,”katanya. – MalaysiaGazette