Presiden MIFA, Datuk T.Mohan

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal pengaturan perlawanan melibatkan tiga pemainnya yang ditahan dan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Presiden MIFA, Datuk T. Mohan mengulangi pendiriannya bahawa MIFA tidak pernah gagal dalam mengekalkan standard tertinggi dalam integriti dan ketelusan pengurusan pasukan.

Katanya, komitmen MIFA dalam bola sepak khususnya dalam bola sepak akan sentiasa konsisten dengan amalan terbaik dalam sukan tanahair.

“MIFA mendapat tahu beberapa pemain kami mungkin telah dipengaruhi kuasa luar untuk mengatur keputusan perlawanan dalam liga Malaysia.

“MIFA kemudian telah melantik sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat dakwaan itu dan hasilnya telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Tindakan hari ini adalah hasil daripada laporan siasatan awal kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan Mohan menyusul selepas tiga pemain pasukannya ditahan atas kesalahan rasuah dan direman selama tujuh hari oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang pemain import Argentina berusia 29 tahun manakala dua lagi adalah warga tempatan masing-masing berusia 26 and 27 tahun.

Siasatan awal SPRM mendapati suspek berkenaan telah menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM 30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan liga perdana.

“Dalam menegakkan prinsip undang-undang dan amalan, MIFA tidak akan mencampuri penyiasatan SPRM dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa itu sebaik mungkin demi menegakkan keadilan.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan disini bahawa MIFA tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan aturan atau manipulasi perlawanan oleh mana-mana individu di bawah MIFA.

“Sebarang tindakan seumpama adalah bertentangan dengan integriti dan ketelusan yang diamalkan pasukan sehingga hari ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette