Iskandar Abd. Samad

AMPANG – Sudah menjadi tanggungjawab Pas selaku parti Islam untuk mengemukakan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355, demikian menurut Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad.

Soal sama ada ia diluluskan atau tidak, katanya, terletak sepenuhnya kepada semua Ahli Parlimen untuk membuat keputusan menerima atau menolak pindaan berkenaan.

“Kalau dapat dibentangkan hari ini, ia memang hasrat kita. Lulus atau tidak itu cerita lain. Yang penting kita (Pas) sudah jalankan tanggungjawab kita sebagai parti Islam untuk bentang.

“Orang bergaduh bukan sebab RUU355, pasal goreng pisang pun orang bergaduh, semualah.

“Jadi ini perkara yang terpaksa kita hadapi sebab bila kita nak melakukan sesuatu yang baik sudah tentunya ada cabaran. Kita kena lalui cabaran tersebut,” ujar Iskandar kepada wartawan dalam sesi lawatan ke gerai penjaja di sekitar Taman Cempaka Ampang hari ini.

Seramai 222 ahli  Dewan Rakyat hari ini diberikan tanggungjawab sama ada menyokong atau tidak pindaan RUU355 yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang awal hari ini.

Pindaan berkenaan dibentangkan Abdul Hadi tepat jam jam 12.30 tengah hari.

Suasana tegang apabila apabila Ahli Parlimen Gopeng, Lee Boon Chye bingkas bangun mempersoalkan keputusan Dewan mengutamakan usul Hadi untuk dibentangkan hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia lantas menjelaskan, kerajaan meminta urusan kerajaan dihabiskan pada Rabu (semalam) dan pada hari ini terserah kepada Speaker untuk meneruskan aturan mesyuarat.

Suasana semakin tegang apabila beberapa orang Ahli Parlimen DAP lain turut berdiri untuk mencela antaranya Ahli Parlimen Gelang Patah(DAP), Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, yang membawa kepada perang mulut antaranya dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Usul berkenaan disokong untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas.

Pindaan RUU355 bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Abdl Hadi dalam pada itu sekali lagi menegaskan akta itu hanya terpakai kepada orang Islam dan tidak membabitkan orang bukan Islam.

Pada 24 November lalu, Abdul Hadi membawa usul pindaan itu menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

RUU355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, tetapi ditangguhkan dan versi yang disemak semula pula dibentangkan pada November 2016. -MalaysiaGazette.