Penasihat Undang-Undang Gabungan NGO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin (tengah) menunjukkan laporan polis terhadap peguam kontroversi Siti Zabedah Kasim di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim disaran mendalami ilmu agama khususnya kaedah mentafsir al-Quran sebelum membuat tafsiran sendiri yang melibatkan hukum hakam dalam Islam.

Penasihat Undang-Undang Gabungan NGO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, Siti Zabedah atau lebih dikenali Siti Kasim tidak boleh menterjemahkan ayat-ayat al-Quran seperti mana beliau mentafsir undang-undang buatan manusia.

“Seseorang itu perlulah mempunyai ilmu khusus untuk mentafsir al-Quran dan belajar bahasa Arab. Jadi kita tak boleh sewenang-wenangnya mentafsir atau menentukan hukum berdasarkan tafsiran dalam bahasa Melayu atau dalam bahasa Inggeris.

“Sekiranya Siti ingin menggunakan ayat-ayat al-Quran, beliau perlu menggunakan dengan sebaiknya dan perlu belajar bahasa Arab sepenuhnya kerana tafsiran beliau amat meleset sekali,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis ke atas Siti Zabedah di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Siti Kasim yang dimuat naik di akaun Facebooknya baru-baru ini bahawa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria boleh disebat sebanyak 80 kali kerana memfitnahnya murtad dari Islam.

Mohd Imran juga mengingatkan Siti Kasim sebagai seorang peguam, beliau perlu tahu batas-batas dalam Islam dan perlu menuntut ilmu untuk keluar daripada kejahilan beragama.

“Saya sarankan Siti Kasim ini berguru dengan ustaz supaya beliau boleh memahami Islam sebenar dan boleh belajar apa itu Islam dan bukannya sewenang-wenangnya menyatakan bahawa beliau ada Islam beliau sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette