Datuk Aznil Nawawi

KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi diumum secara rasmi menggantikan Najip Ali sebagai juri tetap rancangan realiti Maharaja Lawak Mega (MLM).

Menerusi kenyataan Astro menjelaskan, Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil akan menggalas tugas tersebut bermula minggu ini.

“Demi menghormati semua pihak dan terus memeriahkan MLM untuk peminat, tenaga produksi program mengambil keputusan untuk menggantikan kerusi juri Najip Ali dengan Datuk Aznil Nawawi,” kata kenyataan itu seperti dilapor sebuah laman portal.

Melalui kenyataan itu juga teka-teki mengenai siapa juri yang bakal menggantikan Najip yang digugurkan telah terjawab.

Najip yang merupakan pengacara dari Singapura digugurkan daripada menjadi juri rancangan itu ekoran keterlanjurannya mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program Ok Chope episod 26 yang disiarkan oleh MediaCorp Channel 5, baru-baru ini.

Walaupun telah meminta maaf, namun ketidakpuasan hati penonton dan pelbagai pihak yang tampil mengecam pengacara itu telah mendorong Astro membuat keputusan mengggugurkannya. – MalaysiaGazette