Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti Islam itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) susulan penentangan terbuka blok pembangkang itu terhadap pembentangan Akta Mahkamah Syariah atau RUU355 yang dibentangkan oleh  Datuk Seri Abdul Hadi Awang Khamis lalu.

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, pintu rundingan untuk kerjasama dengan PH sudah ditutup dan tindakan parti pembangkang semasa Abdul Hadi membuat pembentangan sudah menyerlahkan lagi sikap sebenar mereka.

“Pas menegaskan sekali lagi bahawa tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan PAN (Parti Amanah Negara).

“Keputusan ini telah terbukti tepat berikutan sikap penentangan berterusan DAP dan PAN terhadap agenda Islam yang dibawa oleh Pas termasuk RUU355. Sikap ini jelas kelihatan di Parlimen pada 6 April 2017, ketika Presiden Pas dan Setiausaha Agong Pas membentangkan RUU355,” katanya.

Tuan Ibrahim juga membidas PH yang cuba menafikan hak Pas untuk membentangkan RUU355 yang dilihat tidak menghormati sistem demokrasi negara.

“Episod RUU355 juga membuktikan perumpamaan yang digunakan Presiden Pas betul, di mana kedua-dua belah ibarat biawak hidup di mana satu belah tidak berani membawa, dan satu belah bukan sahaja menentang, bahkan hak Pas untuk membentangkan RUU355 melalui saluran demokrasi yang sah pun cuba dihalang,” katanya.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila pemimpin PH cuba membuat tuduhan tidak berasas kepada Abdul Hadi hanya kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan tersebut, kata Tuan Ibrahim.

“Mereka yang kepanasan berikutan pembentangan dan penghujahan cemerlang Presiden Pas dan Setiausaha Agong Pas di Parlimen mengenai RUU355 kini cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan pelbagai tuduhan pada Pas tanpa seurat bukti dan juga bermain saraf untuk melagakan pimpinan Pas.

“Namun, strategi lapuk ini tidak akan berjaya kerana Pas yang ada hari ini telah menjadi lebih matang dan kukuh ekoran perpecahan pada 2015,” katanya.

Usul dikemukakan Ahli Parlimen Marang Khamis lalu di Dewan Rakyat itu mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan.

Usul kekal menjadi usul peribadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan ia sebagai rang undang-undang kerajaan, atas dasar konsensus dalam BN. – MalaysiaGazette