Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini berkata, cukai baharu itu bakal memberikan pulangan sekitar RM654 juta kepada kerajaan, sekiranya kadar kependudukan 60 peratus daripada 11 juta bilik dicapai.

KUALA LUMPUR –  Rang undang-undang pelancongan baharu yang diluluskan minggu lalu dijangka mampu menjejaskan pemilik hotel termasuk Genting Malaysia Bhd. dan Sunway Real Estate Investment Trust (REIT).

CIMB Research dalam laporan penyelidikannya berkata, ia melihat cukai tersebut sebagai perkembangan negatif kepada sektor perhotelan dan menyebabkan ketidakadilan antara pengendali hotel berlesen dan tidak berlesen.

Jelasnya, pengendali hotel mungkin tidak mampu mengenakan kesemua kos tambahan disebabkan cukai tersebut kepada pelanggan kerana kadar kependudukan hotel di negara ini cuma sekitar 61.9 peratus pada tahun 2015.

Rang undang-undang tersebut membolehkan kerajaan mengenakan cukai pelancongan ke atas pelancong yang tinggal di premis yang disediakan pengendali pada kadar yang telah ditetapkan menteri mengikut undang-undang.

“Masih belum jelas bilakah cukai pelancongan baharu itu akan dilaksanakan,” katanya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, cukai baharu itu bakal memberikan pulangan sekitar RM654 juta kepada kerajaan, sekiranya kadar kependudukan 60 peratus daripada 11 juta bilik dicapai.

Pada kadar kependudukan yang lebih tinggi seperti 80 peratus, ia mampu melonjakkan hasil sehingga RM872.8 juta.

Menurut Nazri, ia akan menyediakan dana berpanjangan kepada pembangunan industri pelancongan.- MalaysiaGazette