Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji bantuan tambahan kepada golongan bawahan jika pergerakan harga petrol dan diesel terus meningkat sekitar AS$80 setong.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini harga petrol dan diesel masih munasabah.

“Semasa mula-mula KPDNKK mengumumkan penetapan harga minyak mingguan, ia turun 17 sen. Masyarakat mendapat faedah daripada penurunan itu.

“Kemudian harga minyak naik tiga sen dan lapan sen berikutnya. Setakat ini harga minyak masih positif.

“Tetapi kalau dikatakan harga terus tinggi, kemungkinan besar kita akan lihat bantuan tambahan kepada golongan bawahan,” katanya ketika ditemui majlis pelancaran Program MyPrihatin JPJ dan majlis penutup program MyPrihatin JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Parlimen Titiwangsa di sini.

Beliau diminta mengulas tentang kenaikan harga minyak dunia yang menunjukkan trend meningkat kepada AS$56 setong sejak serangan Amerika Syarikat ke atas Syria dan penutupan medan minyak Libya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang memperkenalkan penetapan harga minyak mingguan sejak 30 Mac lalu.

Pada 30 hingga 5 April harga RON95 yang digunakan oleh sebahagian besar pengguna negara ini ditetapkan pada RM2.13 seliter manakala diesel pula RM2.11.

Pada 6 hingga 12 April harga RON95 naik tiga sen kepada RM2.16 tetapi diesel turun kepada RM2.08. Harga RON95 dan diesel antara 13 hingga 19 April ini RM2.24 dan RM2.16, kenaikan lapan sen. – MalaysiaGazette