Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malasyia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah pun memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disebabkan Pas.

Ujarnya, perkara itu disebabkan keengganan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam berdepan BN secara satu lawan satu pada PRU14 kelak.

Mahathir dalam tulis terbaru dalam blognya turut berkata, Pas hanya akan memecahbelahkan undi orang Melayu yang menyebabkan kuasa politik orang Melayu berkurangan disebabkan kurangnya wakil dalam Dewan Rakyat.

“Pencapaian Pas selama ia ditubuh, harapan untuk memerintah di peringkat pusat tidak ada sama sekali. Hanya di waktu menyertai Barisan Nasional sahaja yang Pas menjadi parti kecil dalam kerajaan Pusat.

“Perjuangannya sebagai parti Islam, jika ada, tidak sedikitpun berhasil. Kejayaannya terhad kepada memecahbelah orang Melayu sehingga pengaruh dan kuasa mereka berkurangan dalam politik negara,” tulis Mahathir.

Justeru, Mahathir dengan keras menyatakan penubuhan parti Islam itu merupakan malapetaka buat orang Melayu yang masih menyokong parti berkenaan yang pada pandangan beliau memecahbelahkan masyarakat Melayu.

“Bagi orang Melayu penubuhan Pas adalah satu malapetaka. Ia memecahbelah perpaduan Melayu dalam UMNO yang berjaya tumpas Malayan Union. Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya Pas orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi,” ujar bekas pemimpin UMNO itu.

Pas sebelum ini berkata, ia sedia untuk bertanding berseorangan dalam PRU14, malah parti itu meletakkan sasaran 80 kerusi Parlimen untuk ditandinginya.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang tidak menolak akan turut meletakan calon di kerusi milik DAP dan PKR.

Namun angka dan kawasan baharu belum dimuktamadkan dan perincian itu masih dibuat oleh jentera pilihan raya sebelum keputusan dimuktamadkan oleh Pas pusat.

Mengulas mengenai perkara itu, Mahathir berkata, perkara tersebut mustahil untuk dicapai kerana Pas mengambil pendekatan bersendirian yang memungkinkan pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan Pas.

“Sekarang Pas akan sekali lagi bertanding bersendirian. Mengikut rekod Pas yang tertera di atas, jika Pas bertanding sebanyak 80 kawasan Parlimen, pencapaian mungkin tidak lebih dari 15 kerusi.

“Kebanyakan dari 80 kawasan ini, Pas tahu (mereka) akan kalah. Tetapi mengikut adat Pas, di kawasan yang Pas tidak ada harapan langsung pun, Pas akan bertanding.

“Secara teknikal Pas melawan UMNO-BN, selain dari melawan parti-parti lain yang meletak calon.

“Dengan Pas bertanding dan menjadikan pertandingan tiga atau lebih penjuru, kesannya ialah memecahbelah musuh-musuh BN (UMNO).

“Pas akan kalah dan mengheret turun parti pembangkang lain. UMNO akan menang, kerana penyokong parti lawan berpecah,” kata bekas perdana menteri itu lagi. -MalaysiaGazette.