Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu berhati-hati terhadap dakwaan taktik melengah-lengahkan proses oleh Pas berhubung penggantungan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Tambahnya, Pas selaku Pengerusi dan pentadbir PN sepatutnya mengemukakan penjelasan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan RoS berhubung notis yang dikeluarkan jabatan itu.

Namun menurut beliau, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebaliknya meminta penjelasan daripada RoS mengenai aduan Bersatu yang perlu dijawab.

Katanya, alasan bahawa PN tidak mengetahui kandungan aduan Bersatu sukar diterima kerana Takiyuddin sebelum ini mengakui telah dipanggil RoS dan memberi penjelasan selama empat jam berhubung aduan berkenaan.

“Jadi, saya dipanggil untuk memberi penjelasan, dan saya menjelaskan beberapa faktor kenapa parti itu tidak dipanggil untuk perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Takiyuddin berkata gabungan itu telah memohon penjelasan daripada RoS berhubung penggunaan logo gabungan itu pada PRN Melaka dan pihaknya kini menunggu maklum balas rasmi daripada JPPM.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, RoS juga pada 11 Ogos lalu mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai 2026, selain isu berkaitan kedudukan dan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

“ROS perlu berhati-hati dengan helah dan taktik melengahkan (delay tactic) dalam isu penggantungan penggunaan logo PN,” katanya.

Beliau mendakwa, Bersatu mempunyai pengalaman terhadap apa yang disifatkannya sebagai sikap berlengah Pas sejak parti itu mengambil alih kepengerusian dan pentadbiran PN.

Antara perkara yang didakwa dilengahkan termasuk pelaksanaan keputusan MT PN pada 22 Februari 2026 berhubung pindaan Perlembagaan PN, pemakluman status Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kepada Speaker Dewan Rakyat serta pelaksanaan keputusan berkaitan jawatan Ketua Pembangkang.

Tun Faisal turut mendakwa terdapat kelewatan dalam memanggil mesyuarat MT PN, mesyuarat persiapan pilihan raya dan mesyuarat rundingan kerusi selepas pembubaran DUN Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, RoS tidak seharusnya membenarkan permintaan pentadbir PN mendapatkan penjelasan itu menjadi ruang untuk melengahkan jawapan terhadap notis, lebih-lebih lagi selepas mereka didakwa telah diberi peluang memberi penjelasan sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here