PULAU PINANG – Seramai 26 wanita warga Indonesia yang menjadi mangsa pemerdagangan orang diselamatkan polis di sebuah asrama pekerja di Jalan Kulim, Bukit Mertajam, di sini malam tadi.
Difahamkan kesemua mereka yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan sejak kira-kira tiga tahun lalu diperlakukan seperti buruh paksa termasuk perlu bekerja setiap hari.
Malah, menurut sumber polis, mereka juga mendakwa tidak menerima gaji sejak bekerja selain tidak dibenarkan menunaikan solat pada siang hari serta dikawal pergerakan.
Bagaimanapun, mimpi ngeri mereka berakhir malam tadi selepas diselamatkan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dalam operasi khas di asrama berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azahan Abd. Hamid berkata, siasatan awal mendapati mangsa turut mendakwa hanya diberi slip gaji tetapi tidak menerima wang tunai.
“Jika mereka didapati melakukan kesalahan, gaji akan dipotong selain turut dipaksa bekerja lebih masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azahan menambah, dalam operasi itu juga, dua wanita rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia yang bertindak sebagai penjaga asrama turut ditahan.
Selain itu, ujar beliau, pihaknya turut merampas sebanyak 33 keping slip gaji serta 41 keping kad perakam waktu yang disyaki milik pekerja premis berkenaan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan kesemua suspek direman selama dua hari bermula hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette















