Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) program Pertandingan Seni Negaraku diantara Kementerian Pelancongan yang diwakili Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa (kiri) dan Kementerian Pendidikan yang diwakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr. Khair Mohd Yusof (kanan) di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 19 APRIL 2017

PUTRAJAYA – Dua kementerian bergabung menganjurkan Pertandingan Seni Negaraku bagi tujuan membangkitkan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah.

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan itu hari ini.

Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, MoU itu pada dasarnya menandakan kerjasama kedua-dua kementerian bagi menyemai semangat cintakan negara melalui ekspresi seni visual kepada pelajar.

Untuk itu, sejumlah RM100,000 menanti para pemenang pertandingan itu yang bermula 1 Mei dan akan ditutup pada 31 Ogos ini.

“Wang itu bukanlah sebagai umpan tapi sebagai insentif untuk menyemarakkan lagi semangat cinta kepada negara.

“Program ini adalah untuk menyemai dan mengukuhkan rasa cinta kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis MoU yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak.

Memorandum tiga hala berkenaan dimeterai antara Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr. Khair Mohd Yusof serta Dr Mohamaed Najib selaku Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sebanyak 7, 772 buah sekolah kebangsaan dan 2, 404 buah sekolah menengah akan mengambil bahagian dalam pertandingan yang sama.

Malah, ia turut melibatkan pelajar-pelajar pra sekolah.

“Program ini akan melibatkan dua kementerian menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan untuk membangkitkan semangat negaraku dikalangan lima juta pelajar di 10,000 buah sekolah.

“Semua pameran yang berjaya dipilih akan dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara,” katanya kepada wartawan.

Usaha itu, katanya, dilaksanakan untuk menyelami jiwa dan membangkitkan semangat patriotik peringkat akar umbi, menyemarakkan lagi semangat kecintaan yang utuh kepada negara. -MalaysiaGazette.