Presiden AS Donald Trump di majlis 100 hari pentadbirannya sebelum menandatangani arahan eksekutif mengarahkan agensi Pusat memperkenalkan perubahan dalam program visa sementara dalam pengambilan pekerja asing berkemahiran tinggi ke negara itu. REUTERS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan semakan semula Program Visa AS membawa masuk pekerja asing berkemahiran tinggi ke negara itu.

Difahamkan, Trump mengarahkan semakan semula visa untuk pekerja asing sesuai dengan tema America First bagi memberi keutamaan kepada warga AS.

Trump menandatangani arahan eksekutif terhadap program Visa H-1B yang dilaksanakan negara itu.

Arahan itu menggesa agensi Pusat AS memperkenalkan perubahan terhadap program visa sementara yang digunakan untuk penggajian pekerja asing kemahiran tinggi.

Semakan semula itu tidak mengubah syarat dan peraturan sedia ada tetapi ia bertujuan untuk menggantikan sistem sedia ada dengan sistem merit.

Trump berkata, pemberian program Visa H-1B berasaskan sistem merit akan menghadkan pengeluaran visa untuk pekerja berkemahiran tinggi.

Dalam sistem itu,  warganegara India merupakan kumpulan pekerja terbesar menerima visa H-1B secara tahunan.

Perubahan mengejut itu dikhuatiri menjejaskan syarikat seperti Tata Consultancy Services Ltd, Cognizant Tech Solutions Corp dan Infosys Ltd yang menjalin syarikat teknologi dengan ribuan jurutera luar negara dan pakar program.

Trump mengumumkan arahan itu sambil melawat ke ibu pejabat syarkat Snap-On Inc.

Sebagai usaha tambahan menangani isu visa, Trump juga mengarahkan semakan semula peraturan perolehan negara supaya memihak syarikat industri milik AS untuk memastikan ia bermanfaat khususnya syarikat industri besi.

“Dengan tindakan ini, kita menghantar isyarat terkuat kepada dunia ini bahawa kami akan mempertahankan pekerja kami melindungi peluang pekerjaan dan meletakkan AS di tempat pertama,” katanya yang dipetik dari agensi berita.

Trump merupakan seorang ahli perniagaan dan korporat sebelum dipilih sebagai Presiden AS pada November lalu.

Sebelum itu, syarikat dibawah Trump dituduh menggunakan program visa untuk mengisi jawatan di Trump Properties dengan pekerja asing.

Product dengan jenama Trump juga didakwa dikeluarkan di luar negara.

Walaupun pentadbiran Trump mencecah 100 hari, beliau masih belum melakukan pencapaian terbesar dalam tempoh itu.

Arahan terbaru Trump dalam program Visa H-1B belum pasti berkesan kerana tidak ada satu tempoh masa ditetapkan. – MalaysiaGazette