Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh.

KUALA LUMPUR – Raja Bomoh atau Ibrahim Mat Zin yang kontroversi dengan ritual baru-baru ini ditahan polis di Segamat, Johor.

Ibrahim ditahan pada jam 2.30 pagi dipercayai di sebuah hotel di bandar itu.

Pada 22 Mac lalu, Raja Bomoh tidak mengendahkan arahan untuk hadir ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memberi penjelasan berhubung video viral menunjukkan dirinya mengadakan upacara ritual di pantai, kononnya bertujuan melindungi Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara, bulan lalu.

Video beliau bersama pembantunya melakukan ritual menggunakan meriam buluh untuk “menggagalkan” ancaman asing atau serangan ke atas Malaysia mula bersebar di laman sosial pada 12 Mac lalu, lapor Harian My Metro.

Beliau berbuat demikian susulan ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara berikutan pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Nam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 13 Februari lalu.

Pada 18 Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, polis menjejaki bomoh terbabit kerana disifatkan merosakkan imej Islam.

Selain polis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan juga giat mengesan Ibrahim, susulan ritual “memagar” Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.

Pada 3 Ogos 2015, kerajaan Perak mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara perbomohan Ibrahim di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.-MalaysiaGazette