Polis New York mengadakan kawalan ketat di luar perkarangan Konsulat Perancis di bandar raya itu. foto Agensi

NEW YORK – Konsulat Perancis di New York, yang menjadi tempat beribu-ribu ekspatriat berdaftar membuang undi dalam pilihan raya presiden negara itu dipindahkan berikutan ancaman bom.

Kehadiran sebuah kenderaan yang mencurigakan telah mendorong polis mengarahkan bangunan di Fifth Avenue di seberang Central Park dikosongkan, kata Konsul Besar Anne-Claire Legendre.

“Selepas serangan Champs Elysees, jabatan polis New York telah diberitahu untuk menjadi sangat berhati-hati,” katanya.

Berpuluh-puluh orang yang berada di dalam bangunan itu pada kira-kira 5 petang (2100 GMT) menunggu di kaki lima manakala pihak berkuasa melakukan pemeriksaan kenderaan.

Situasi kembali normak selepas 50 minit kemudian, menurut pegawai media konsulat, Amelie Geoffroy.

Aktiviti mengundi, yang dijadualkan berlangsung sehingga 7 malam, juga disambung semula, katanya.

Seramai 28,500 warga Perancis yang tinggal di New York, New Jersey dan Connecticut telah berdaftar untuk mengundi pada konsulat.

Langkah-langkah keselamatan telah diperkukuhkan di tempat mengundi di seluruh Amerika Syarikat selepas seorang anggota polis diserang di Champs Elysees minggu ini. – MalaysiaGazette