KUALA LUMPUR – Pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Rais Hussin menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa terdapat individu yang ditawarkan menjadi Ketua Bahagian PPBM di Johor dengan syarat perlu membayar RM250,000.

Portal berkenaan melaporkan, individu yang ingin menjadi ketua bahagian akan terikat dengan beberapa syarat seperti menyediakan pejabat, mengekalkan ahli jawatan kuasa sedia ada, elaun bulanan mengikut kedudukan dan membayar gaji kepada setiausaha.

“Dengan kedudukannya saya sendiri sebagai salah seorang ketua bahagian PPBM, saya tahu apa yang didakwa itu adalah tidak benar.

“Saya tahu tuduhan itu berniat jahat, fitnah dan bertujuan memberikan gambaran salah pada PPBM,” kata Rais kepada sebuah portal.

Menurutnya, semua jawatan dalam PPBM bukan untuk dijual dan laporan berkenaan disifatkan sebagai mengarut.

“Wang tidak diperlukan untuk membolehkan seseorang memegang mana-mana jawatan dalam parti, atau pun mereka dibayar selepas dilantik,” katanya.

Bagaimanapun Rais mengakui, sebagai sebuah parti yang baru, ada banyak kelemahan yang boleh diperbaiki, namun amalan politik wang bukanlah satu daripadanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dakwaan pada laporan itu membayangkan wujud masalah dalaman pada PPBM, Rais berkata, jika ada anggota parti berpendapat wujud salah laku, ia wajar dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Kami tak ada apa-apa yang hendak disembunyikan. PPBM meraikan perbezaan pendapat. Ia adalah kekuatan, bukan kelemahan.

“Kami mempunyai proses dalaman untuk menangani masalah begini.

“Sepatutnya ia dibangkitkan secara dalaman tetapi apabila dibawa kepada media, ia menunjukkan niat sebenar pihak terbabit,” katanya. – Malaysia Gazette