Kain rentang yang dihasilkan sempena dengan pertabalan Sultan Muhammad V itu telah digantung seawal Isnin minggu lalu tetapi kesilapan ejaan yang berlaku tidak dikesan sesiapa.

TAIPING – Ketua MCA Taiping Ang Sui Eng memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selepas tergantung kain rentang yang mempunyai kesilapan ejaan.

Sinchew Daily melaporkan, kesilapan ejaan pertabalan menjadi ‘perbatalan’ telah mencetuskan kontroversi.

Sui Eng mengakui berlaku kelalaian kerana tidak memeriksa kain rentang yang dihasilkan syarikat pengiklanan sebelum mempamerkannya di pejabat MCA Taiping.

Menurutnya lagi, kain rentang yang dihasilkan sempena dengan pertabalan Sultan Muhammad V itu telah digantung seawal Isnin minggu lalu tetapi kesilapan ejaan yang berlaku tidak dikesan sesiapa.

Kesilapan hanya disedari apabila gambar mengenai kesilapan itu tersebar melalui Internet pada hari pertabalan.

Katanya, orang yang mengesan kesilapan itu sepatutnya memaklumkan MCA Taiping dan bukannya menunggu hari pertabalan untuk mendedahkan kesilapan tersebut.

Walaupun berpendapat pihak berkenaan berniat jahat, tetapi Sui Eng tetap mengaku bertanggungjawab atas kesilapan yang berlaku. – MalaysiaGazette