Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh pengurusan dua kes rasuah membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu bagi membolehkan rayuan Guan Eng  dan Li Koon mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 didengar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Peguam Guan Eng, RSN Rayer dan peguam Li Koon, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, keputusan lanjut daripada Mahkamah Rayuan di Putrajaya terhadap percubaan kedua-dua defendan mendapatkan pengisytiharan kegunaan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah akan didengar Khamis ini.

Pada sesi pengurusan kes pagi ini, Guan Eng dan Li Koon bagaimanapun tidak hadir dan hanya diwakili peguam masing-masing.

Pasukan pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Pada 20 Mac lalu, Hadhariah membenarkan permohonan peguam Guan Eng,  Gobind Singh Deo untuk menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung 27 Mac lalu menunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Penangguhan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi menolak petisyen Guan Eng dan Li Koon pada 7 Mac lalu untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM sebagai tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah.

Guan Eng dan Li Koon memfailkan permohonan itu pada Janu­ari lalu.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung pe­­nukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng dituduh sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya mendapatkan su­a­pan untuk dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan pe­nu­ka­­ran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd..

Guan Eng, 57, didakwa mela­kukan kesalahan itu semasa mem­­pengerusikan mesyuarat Ja­watankuasa Perancang Negeri Pu­lau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seks­yen 23 Akta SPRM 2009 yang mem­peruntukkan hukuman pen­jara maksimum sehingga 20 ta­hun dan denda tidak kurang li­ma kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No. 25, Jalan Pinhorn di sini pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 25, Jalan Pinhorn di sini pada 28 Julai, 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Li Koon selaku bekas pemilik banglo itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo tersebut di bawah harga pasaran pada tempat dan tarikh yang sama.

Ahli perniagaan wanita itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette