MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya pengurangan fokus persaingan antara dirinya dan Pep Guardiola adalah pendekatan positif menjelang pertembungan jiran tetangga di Manchester City Jumaat ini.

Guardiola dan Mourinho terkenal dengan isu perseteruan hebat ketika mengendalikan Barcelona dan Real Madrid ketika aksi El Clasico sepanjang 2010 dan 2012.

Peringkat itu hampir menyamai persaingan di Manchester musim ini kerana setiap pasukan memenangi tiga perlawanan pembukaan Liga Perdana, sebelum jaringan Kevin De Bruyne dan Kelechi Iheanacho pada separuh masa pertama membantu City mencatat kemenangan 2-1 ke atas pesaing mereka di Old Trafford, September tahun lalu.

Kedua-dua pasukan kemudiannya jatuh dalam perlumbaan gelaran yang kini beralih kepada kelab London, Chelsea dan tempat kelayakan Liga Juara-Juara menjadi keutamaan mereka minggu ini.

Oleh itu, perseteruan hebat di antara kedua-dua jurulatih dikendurkan dan Mourinho berasakan ia adalah pendekatan yang terbaik.

“Saya melihat bahawa ia sekarang adalah pendekatan yang betul dan yang sebelumnya tidak,” katanya kepada Sky Sports, merujuk kepada apa yang digembar-gemburkan pada awal musim.

“Ini adalah tentang kelab, ini adalah mengenai pasukan, ini adalah mengenai kedudukan pada akhir musim ini.

“Ini bukan mengenai diri saya dan Guardiola, jadi saya fikir sekarang adalah pendekatan yang betul.”

United sudah mempunyai Piala EFL untuk diimpikan dan juga mara ke separuh akhir Liga Europa iaitu peluang kedua sekiranya gagal berada dalam kelompok empat terbaik untuk ke Liga Juara-Juara.

Sebaliknya, City tewas kepada Arsenal pada masa tambahan semasa separuh akhir Piala FA, Ahad lalu dan akan menamatkan musim ini tanpa sebarang penghormatan besar dengan pesaing mereka kini berada satu mata di belakang iaitu di tempat kelima.

Anak buah Mourinho tidak tewas dalam 23 perlawanan Liga Perdana dengan13 kemenangan dan 10 seri.

Bekas pengurus Chelsea itu tidak berasa tertekan kerana dia meletakkan satu asas untuk tampil lebih baik pada masa akan datang.

“Tidak kira apa yang berlaku daripada aspek gelaran, kami menang atau tidak,” katanya.

“Saya sentiasa berasakan bahawa musim ini adalah sangat penting bagi saya, pemain dan kelab.

“Saya mengatakan ini mungkin menjadi musim pertama daripada lima musim yang akan datang atau enam atau tujuh. Ia boleh menjadi musim pertama untuk tahun yang lebih baik.

“Dan realitinya adalah walaupun pada musim pertama tahun-tahun lebih baik, kami sudah menang (Piala Perisai Komuniti dan Piala EFL) dan kami berpeluang untuk melakukan perkara yang baik sehingga akhir musim ini.

“Jika kami berjaya memenangi Liga Eropah dan pada Ogos kami akan bermain Piala Super Eropah menentang pemenang Liga Juara-Juara, ia akan menjadi lebih indah.” – MalaysiaGazette