Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak timbul isu beli jawatan dalam parti itu kerana beliau menyifatkan partinya miskin ekoran sekatan daripada kerajaan.

PPBM sebelum ini dipalit kontroversi ada pihak mendakwa wujudnya aktiviti menjual jawatan tertinggi parti di beberapa bahagian, selain tawaran jawatan dengan syarat tertentu.

“Tidak timbul sama sekali, ada orang nak bagi duit saya tak tahulah. Jika dia nak jadi ketua bahagian, kita terima tapi belum tentu dia jadi ketua bahagian.

“Bukan sahaja nakkan jawatan. Mereka nak masuk parti ini kena bayar duit RM4 dan ahli seumur hidup RM100. Jika nak dapat jadi ketua bahagian dia punya hal lah. Kita mengaku kita miskin ada sekatan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Pimpinan Tertnggi parti hari ini.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini mengesahkan memang wujud pihak menjual pangkat dan jawatan peringkat bahagian parti, namun tiada tindakan diambil ekoran individu yang ‘menjual’ pangkat berkenaan sudah meninggalkan parti.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman yang bertindak keluar parti minggu lalu.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, hanya calon boleh menang sahaja akan disenarai pendek bagi mewakili parti itu dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Kita beri kepada calon yang boleh menang. Orang yang dijangka boleh menang ini sama ada daripada calon dalam gabungan parti atau dari Parti Pribumi sendiri.

“Jika semua yang boleh menang dari DAP kita kena bersetujulah sebab kita nak cari kemenangan. Jika semua yang boleh menang dari PPBM, kita letak kita punya semualah,” katanya lagi.

Perkara itu pernah diketengahkan Dr. Mahathir ketika PPBM menyertai PH dengan syarat semua tiga parti komponen PH, bersama dengan PPBM akan menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang di bawah satu logo, satu manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding. -MalaysiaGazette.