Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bakal berdepan hukuman penjara kerana didakwa mengeluarkan kenyataan biadap menghina hakim mahkamah syariah.

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dalam kenyataan lewat petang tadi memberitahu, kenyataan Rafizi bahawa hakim mahkamah syariah lebih banyak makan rasuah berbanding hakim mahkamah sivil telah menyebabkan institusi perundangan syariah dipandang hina disamping menimbulkan persepsi negatif dikalangan masyarakat di Malaysia.

“Rafizi bakal berdepan tindakan di bawah Seksyen 210 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana bertindak menghina mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman denda yang tidak melebihi satu ribu ringgit.

“Selain itu, Rafizi turut bakal berdepan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana bertindak menghina pihak berkuasa agama,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, PPSM bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah membuat aduan kepada Ketua Penguatkuasa Agama (KPPA) Wilayah Persekutuan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu.

“Rafizi juga berpotensi untuk turun naik mahkamah syariah dari satu negeri ke satu negeri di seluruh Malaysia seandainya Pegawai2 Syariah di setiap negeri membuat aduan kepada Penguatkuasa Agama negeri masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette