Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

PETALING JAYA – Kerajaan digesa supaya menangguhkan dahulu pelaksanaan sekatan bayaran potongan gaji kasar penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus dari gaji kasar melalui sistem gaji berkomputer yang telah bermula pada awal bulan ini.

Ia bertujuan mengelak seramai 67,000 kakitangan awam yang terlibat dengan pemotongan itu terjebak meminjam `ah long’.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah tergesa-gesa kerajaan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan gerakan koperasi.

“Kita minta kerajaan menimbang semula keputusan Jabatan Akauntan Negara yang telah mengambil tindakan membuat sekatan potongan wajib sehingga maksimum 60 peratus kepada penjawat awam terbabit.

“Perkara yang berlaku akan memberikan masalah besar kepada kakitangan awam yang ada lebihan potongan kerana mungkin akan disaman terutama yang ada pinjaman peribadi.

“Kita lihat potongan yang dibuat itu adalah pinjaman wajib seperti perumahan, beli kereta dan insurans,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan wakil koperasi kredit di sini hari ini.

Perbincangan tersebut dibuat bagi mencari penyelesaian di atas kemelut yang berlaku.

Mengikut Pekeliling, mulai bulan ini, Jabatan Akauntan Negara Malaysia melaksanakan sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus dari jumlah gaji kasar melalui sistem gaji berkomputer JANM.

Ini bermakna penjawat awam yang mempunyai banyak potongan pinjaman dalam slip gaji perlu memastikan ia tidak melebihi 60 peratus.

Pegawai awam adalah bertanggungjawab untuk mengurus sendiri sebarang pembayaran potongan gaji yang tidak dapat dibuat potongan melalui sistem gaji.

Menerusi perbincangan yang diadakan satu resolusi akan dihantar kepada Ketua Setiusaha Negara, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara, kata Fattah.

Jelas beliau, resolusi itu akan dihantar kepada pihak berkenaan selewat-lewatnya Isnin ini agar tindakan dapat diambil dan berharap tidak berlaku pemotongan seterusnya pada gaji yang akan diterima penjawat awam terbabit bulan depan.

Terdahulu, dalam ucapannya pada perbincangan yang diadakan Abdul Fattah berkata, jika keadaan itu berterusan ia boleh meletakkan penjawat awam kepada risiko yang tinggi.

Katanya, penjawat awam terbabit boleh dikenakan tindakan disenarai hitam sehingga disytihar muflis yang akhirnya menyebabkan mereka mendapatkan pinjaman daripada skim pinjaman tidak berlesen. – MalaysiaGazette