Home Politik Pas konsisten GST haram

Pas konsisten GST haram

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

ALOR SETAR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) konsisten bahawa sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bercanggah dengan Islam dan perlu dibatalkan.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jika Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengeluar hukum harus dengan alasan terdapat keperluan serta maslahah untuk negara dan rakyat, ia adalah satu kesilapan.

“Kami menuntut kerajaan membatalkan pelaksanaan sistem GST ini kerana ia tidak menepati hukum syarak sebab GST ini turut melibatkan kutipan cukai daripada rakyat miskin.

“Sepatutnya Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan melihat aspek ini, bukan membuat penilaian berdasar keperluan dan maslahah negara sahaja,” katanya berucap pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, Jawatankuasa Majlis Fatwa yang bersidang pada 21 hingga 22 Oktober 2014 telah memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri mengutip cukai seperti GST, selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.

Dr. Mohd Khairuddin berkata, GST menjadi harus sekiranya kerajaan mengutip cukai daripada orang kaya melalui cukai simpanan korporat dan cukai saham.

Katanya, jika orang miskin turut ditindas dengan GST, ia menjadi haram. – MalaysiaGazette