Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

ALOR SETAR: Majlis Syura Ulama PAS menyeru seluruh ahli memantapkan lagi kepatuhan mereka kepada kepimpinan parti dalam membuat sebarang keputusan.

Menurut Setiausaha Majlis Syura, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, ia termasuk keputusan besar yang bakal diambil berhubung pemutusan tahaluf siyasi dengan bekas parti sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat, PKR.

Kesungguhan beliau menekankan perkara itu dapat dilihat melalui ucapan yang berulang kali menyebut perkataan wala.

“Saya harap supaya seluruh ahli wala kepada majlis syura dan pucuk pimpinan Pas dalam menentu halatuju pentadbiran Pas,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nik Muhammad mengumumkan akan mempercepatkan proses membuat keputusan terhadap status tahaluf siyasi antara Pas dan PKR.

“Majlis syura baru sahaja menerima satu usul yang begitu besar daripada ulama.

“Kita akan melakukan mesyuarat secepat mungkin bagi merungkai kekeliruan yang berlaku melibatkan usul tahaluf siyasi,” katanya.

Dalam usul yang dibentangkan wakil Dewan Ulama Pas Zulkifli Ismail, PKR dituduh bersikap biadab dan celupar terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul hadi Awang. – MalaysiaGazette