Putera Mishaal Abdulaziz Al Saud

RIYADH – Abang Raja Salman, Putera Mishaal Abdulaziz Al Saud, 93, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Istana Arab Saudi hari ini.

Menurut agensi berita Saudi Press, pihak istana dalam satu kenyataan berkata, pengebumian akan diadakan di Mekah.

“Solat jenazah akan dilakukan di Masjidil Haram di Mekah setelah solat Isyak,” lapor kenyataan itu.

Bagaimanapun pihak kerajaan tidak menyatakan punca abang Raja Saudi itu meninggal dunia.

Putera Mishaal adalah Ketua Majlis Kesetiaan Arab Saudi yang ditubuhkan bagi mengendalikan proses penggantian raja di negara yang kaya dengan hasil minyak itu.

Majlis itu dianggotai anak lelaki dan cucu pengasas Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdulaziz yang mengundi secara rahsia untuk memilih raja dan putera mahkota dalam kalangan mereka.

Takhta sistem beraja Arab Saudi diwarisi anak lelaki Raja Abdulaziz sejak berdekad yang lalu.

Sementara itu, Putera Mishaal pernah berkhidmat dua kali sebagai Menteri Pertahanan iaitu pada akhir 1950-an dan awal 1960-an. – MalaysiaGazette