KUALA LUMPUR – Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-59 akan berlangsung selama enam hari bermula 15 hingga 20 Mei ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, MTHQA akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, dengan menyaksikan seramai 68 peserta termasuk 38 qari dan qariah bagi ketegori Hafazan al-Quran.
Kata beliau, Tilawah al-Quran berlangsung selama lima hari bermula 15 hingga 19 Mei, manakala kategori Menghafaz al-Quran selama tiga hari dari 16 hingga 18 Mei.
“Semua peserta ini telah melepasi tahap saringan dan bertanding di peringkat akhir.
“Majlis berprestij ini akan disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada 20 Mei, jam 8.45 malam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut beliau, tahun lepas, Malaysia telah diiktiraf sebagai penganjur program al-Quran terbaik peringkat antarabangsa oleh Kuwait dan tahun ini juga beberapa peserta negara telah meneruskan kejayaan masing-masing di musabaqah tilawah dan hafazan peringkat antarabangsa termasuk yang dianjurkan negara bukan Islam.
Pada 7 hingga 11 April lalu, dua peserta negara, Nor Azrah Ayob dinobatkan sebagai johan dan Abdullah Fahmi Che Nor tempat ketiga pada pertandingan “The ASEAN Al-Quran Recital Competition During Thailand’s Mawlid Celebration 1438H” di Bangkok, Thailand.
Kata Jamil Khir lagi, sebanyak 70 negara termasuk Malaysia keseluruhannya telah dijemput untuk menyertai MTHQA di Kuala Lumpur.
“Sebanyak 22 negara dijemput bagi kategori Tilawah al-Quran, di mana setiap negara berpeluang menghantar seorang qari dan seorang qariah.
“Malaysia akan diwaklili Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan Tahun 2017 yang telah berlangsung di Melaka pada 2 hingga 8 April 2017 lalu.
“Mereka ialah Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Wilayah Persekutuan untuk kategori qari dan Normalina Alias dari Negeri Sembilan bagi kategori qariah,” kata beliau.
Bagi kategori Hafazan al-Quran pula, ujar Jamil Khir, sebanyak 24 negara telah dijemput menyertainya dengan kebanyakannya negara Timur Tengah, Afrika dan beberapa negara yang lebih kepada bacaan secara tadwir (tanpa tarannum).
Katanya, menerusi kategori itu, Malaysia akan diwaklili Johan Qari dan Qariah kategori 30 Juzuk Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan Tahun 2017 yang lalu iaitu Mohamad Syazani Jemy dari Johor dan Nur Amalina Azharuddin dari Melaka.
Sementara itu, sebanyak 24 negara dijemput secara pilihan terbuka, di mana negara tersebut boleh membuat pilihan sama ada mengemukakan peserta bagi kategori tilawah atau hafazan. – MalaysiaGazette















