Syed Ali Alhabshee
Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil untuk Barisan Nasional (BN) kembali menguasai dua pertiga daripada kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, percakaran dalam kalangan gabungan Pakatan Harapan (PH) mengenai pembahagian kerusi yang belum dimuktamadkan dan keretakan hubungan antara Pas dan PKR merupakan kelebihan kepada BN untuk terus mengukuhkan kedudukan di peringkat akar umbi pada PRU14.

“Dengan keadaan politik hari ini dan perkembangan pembangkang, saya berkeyakinan penuh rakyat akan berfikir lebih terbuka sebagaimana BN tabdir negara dan menjamin kestabilan negara.

“Ini kerana kerajaan BN sudah teruji dan sudah pimpin begitu lama. Apa yang kita lalui adalah pengajaran untuk kita memperbaiki dan menjadi yang terbaik buat rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pada PRU13, BN secara muktamad diumumkan kekal berkuasa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan majoriti yang berkurang, tidak sebagaimana yang diperolehi sebelum ini.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najb Razak berjaya merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat (PR).

BN ketika itu memperoleh 134 kerusi Parlimen berbanding PR, 88 kerusi.

Ujar Syed Ali, situasi kukuh yang dicerminkan oleh BN dalam memimpin negara selama lebih 50 tahun membawa kepada kemakmuran kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini.

Malah katanya, sistem kepimpinan PH yang cacamarba juga tidak memungkinkan segala yang dikecapi kini kekal kerana perbezaaan pendapat dan ideologi yang terdapat dalam gabungan pembangkang.

“Barisan Nasional memang sudah kukuh dari segi struktur pemimpin, mereka (PH) duduk berbincang pun boleh berubah pendirian masing-masing.

“Apa yang mereka lakukan ini pastinya saya rasa akan berubah pada masa akan datang. Mereka tidak kukuh sebagaimana BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.