Annuar Musa

KOTA BHARU – DAP adalah musuh sebenar UMNO dan Pas, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, parti itu amat berbahaya kerana menggunakan sentimen untuk mencapai matlamat sosialisme mereka.

“DAP memberi bayangan dalam fikiran kaum Cina seolah-olah Islam itu mengancam bukan Islam, sistem diraja itu memberikan keburukan kepada bukan Islam, Perkara 153 dalam Perlembagaan dia nak robek sama sekali.

“Dia menyebabkan Pas berpecah, dalam Pas mereka dapat PAN, pemimpin Pas tinggalkan perjuangan mereka untuk agama.

“Dalam PKR penuh ejen DAP, ahli DAP bertanding atas tiket PKR, nama saja PKR tetapi penghayatan menjunjung DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum Himpunan Memperingati Perjuangan Bangsa di padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh di sini malam tadi.

Yang turut menjadi ahli panel pada program tersebut ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun dan Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamadzah.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, jalur pertempuran politik di negara ini sebenarnya bukan di antara UMNO dan Pas tetapi dengan DAP.

“Mereka (DAP) mahukan perpecahan dalam Melayu bagi memudahkan matlamat perjuangan mereka tercapai.

“Lim Kit Siang dalam ucapannya pernah berkata DAP boleh mengubah pendekatannya termasuk berbaik dengan sesiapa sahaja tetapi idealisme mereka tidak akan berubah,” katanya.

Katanya, UMNO dan Pas perlu meraikan titik persamaan kerana perkara yang paling penting ialah Islam.